Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam
TUNGKU LINK, Sabtu, 16 Mei. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Space Faculty yang berpangkalan di Singapura, dengan bangganya mengumumkan kejayaan pelancaran muatan benih pertama Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), sekali gus menandakan satu pencapaian bersejarah negara dalam bidang sains, penyelidikan dan inovasi.
Muatan tersebut merujuk kepada bahan saintifik yang dibawa menaiki roket atau kapal angkasa.
Dalam misi ini, benih-benih tempatan dihantar sebagai sebahagian daripada muatan saintifik tersebut. Muatan berkenaan telah dilancarkan pada 16 Mei 2026 pada pukul 5.45 pagi waktu tempatan menaiki roket Falcon 9 Block 5 yang dimiliki oleh SpaceX, yang membawa kapal angkasa Cargo Dragon 2 bagi misi Commercial Resupply Services (CRS-34) NASA dari Space Launch Complex 40 di Cape Canaveral Space Force Station, Florida.
Muatan tersebut akan mengelilingi bumi berulang kali sepanjang tempoh enam bulan yang mendedahkan benih-benih tersebut kepada keadaan ekstrem angkasa lepas yang tidak dapat direplikasi di bumi.
Muatan tersebut dijangka berlabuh di International Space Station (ISS) pada 17 Mei 2026 sekitar pukul 7.00 malam waktu tempatan sebagai sebahagian daripada misi Commercial Resupply Services NASA, sekali gus menandakan fasa seterusnya bagi muatan penyelidikan angkasa pertama NBD di ISS.
Misi perintis ini meletakkan NBD dalam kalangan negara yang memajukan penyelidikan berasaskan angkasa lepas demi masa depan pertanian, ketahanan makanan dan kemampanan.
Diketuai oleh Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER) UBD, projek ini menghantar bahan benih terpilih ke orbit rendah bumi, di mana pendedahan kepada radiasi tinggi berpotensi menghasilkan variasi genetik baharu untuk saringan dan analisis saintifik selanjutnya di bumi.
“Ini merupakan satu pencapaian bersejarah bagi program sains angkasa lepas UBD. Penghantaran muatan benih ke ISS mencerminkan komitmen UBD dalam menerajui penyelidikan yang melangkaui sempadan dan membuka ruang baharu dalam bidang sains," jelas Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.
Kepentingan jangka panjang misi ini bukan hanya terletak pada pelancarannya, malah pada potensi penyelidikan dan pembangunan saintifik yang bakal dilaksanakan selepas benih-benih tersebut kembali ke bumi.
Setelah benih-benih tersebut kembali dari orbit, UBD akan melaksanakan saringan mutasi dan analisis fenotip bagi mengenal pasti potensi menghasilkan varieti tanaman yang lebih baik, berdaya tahan dan berkualiti tinggi.
Projek ini memanfaatkan persekitaran unik angkasa lepas untuk memperkukuh ketahanan makanan negara serta menyokong kemampanan pertanian jangka panjang.
Inisiatif ini juga merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negara. Ia menyediakan platform bernilai tinggi untuk melatih pelajar, penyelidik muda dan bakal pemimpin saintifik dalam bidang sains tumbuhan, penyelidikan biodiversiti, analisis mutasi, metodologi saringan serta aplikasi penyelidikan berkaitan angkasa lepas, di samping memperkukuh keupayaan NBD dalam bidang penyelidikan moden dan berteknologi tinggi, yang mempunyai kepentingan langsung kepada negara.
Pencapaian ini adalah hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara UBD dan Space Faculty yang bertujuan memajukan pendidikan serta teknologi angkasa lepas di rantau ASEAN.
Melalui kerjasama antarabangsa ini, UBD terus menempatkan NBD sebagai antara negara yang berpandangan jauh dan ke hadapan dalam ekonomi angkasa lepas global.
UBD kini merupakan institusi terulung di NBD dalam memacu penyelidikan dan teknologi angkasa lepas, dengan beberapa pencapaian penting dicatatkan dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
UBD juga merupakan Sekretariat Jawatankuasa Kebangsaan Penyelidikan Angkasa Lepas (COSPAR) yang berperanan memajukan usaha penyelidikan berkaitan angkasa lepas di peringkat negara, di samping memperkukuh pembangunan kapasiti, pendidikan dan kesedaran sains angkasa lepas di NBD.
Space Faculty ialah sebuah organisasi berpangkalan di Singapura yang memberi tumpuan kepada pendidikan angkasa lepas, program satelit dan penjangkauan STEM di seluruh Asia Tenggara.
Melalui kerjasama dengan universiti dan institusi terkemuka, Space Faculty komited untuk menginspirasikan generasi baharu saintis, jurutera dan inovator angkasa lepas.